Mengapa ini harus terjadi?
Abang membunuh adik kerana berebut siaran tv
Ipar menikam ipar lalu melarikan diri
Suami membelasah isteri
Isteri membelasah suami
lalu di hebohkan ke seluruh negeri
Ke mana nilai dan maruah diri.
Hal-hal yang kecil
menjadi fitnah
lalu diangkat menjadi sengketa
sehingga berbunuh-bunuhan
tanpa belas ikhsan.
Para politikus dan penguatkuasa
sibuk kerana dua bendera di malam merdeka
dan gambar perdana yang dipijak-pijak
mencari-cari siapakah si muda biadab
yang membuntuti wajah perdana
seperti dosanya
melebih black metal yang mengencingi
Al-quran di Sungai Petani.
Ke manakah hilang kasih sayang sesama kita,
anak dan ibu, adik dan abang,
isteri dan suami di dalam rumah tangga?
Ke manakah hilang rasa hormat sesama umat
rakyat dan pemimpin,
yang muda dan yang tua
di dalam sebuah Malaysia?
Semua mungkin bermula dari yang atas
keruh di hulu keruhlah di kuala
seperti ikan busuknya bermula
dari kepala.
No comments:
Post a Comment