Friday 7 September 2012

BUSUKNYA IKAN BERMULA DI KEPALA

Mengapa ini harus terjadi?

Abang membunuh adik kerana berebut siaran tv

Ipar menikam ipar lalu melarikan diri

Suami membelasah isteri

Isteri membelasah suami

lalu di hebohkan ke seluruh negeri

Ke mana nilai dan maruah diri.


Hal-hal yang kecil

menjadi fitnah

lalu diangkat menjadi sengketa

sehingga berbunuh-bunuhan

tanpa belas ikhsan.


Para politikus dan penguatkuasa 

sibuk kerana dua bendera di malam merdeka

dan gambar perdana yang dipijak-pijak

mencari-cari siapakah si muda biadab

yang membuntuti wajah perdana

seperti dosanya

melebih black metal yang mengencingi 

Al-quran di Sungai Petani.


Ke manakah hilang kasih sayang sesama kita,

anak dan ibu, adik dan abang, 

isteri dan suami di dalam rumah tangga?


Ke manakah hilang rasa hormat sesama umat

rakyat dan pemimpin,

yang muda dan yang tua

di dalam sebuah Malaysia?


Semua mungkin bermula dari yang atas

keruh di hulu keruhlah di kuala

seperti ikan busuknya bermula

dari kepala.




Monday 3 September 2012

ISU-ISU POLITIK

Menjelang PRU-13 ni macam-macam benda boleh jadi isu politik. Asalkan benda itu boleh disangkutkan dengan pihak yang berkenaan. Pihak berkenaan tu orang politik atau parti politiklah, takkan kek lucah enot pula.Orang politik tak pandanglah kek lucah enot tu, walaupun boleh menjadi isu sosial dan isu agama yang besar dan perlu dibanteras dengan segera.

Isu surau di Kompleks Tunku Yaakub di Alor Setar lama juga dimainkan dalam surat kabar. Gedebum gedebam sana sini, angkat sepanduk, tunjuk laporan polis dalam surat kabar. Akhirnya senyap tak tahu hujung pangkalnya. Agaknya orang politik dah habis idea kot nak memanjangkan isu itu. Dalam apa isupun yang jadi nasi tambah tu ahli perkasalah. Maklumlah depa orang 'perkasa'. 

Filem lama, isu hudud pun dimain balik. Bermula dari pandangan seorang wakil rakyat dari UMNO Johor mencadangkan hudud dilaksanakan di Johor, isu itu pun bertele-tele beberapa lama. Masing-masing tonjolkan diri memperkatakan mengenai isu hudud itu. Yang ditimbulkan bukannya tentang tubuh hudud itu. Tapi kata mengatakan dikalangan orang politik yang bertentangan. UMNO kata Pas, Pas kata UMNO. Perkasa juga jadi nasi tambah. Penganalis di menara gading pun tumpang sekaki. Ada yang pro UMNIO ada yang pro PAS.Orang DAP yang tak ketahuan apa-apa tentang hudud pun bincang sama.

Sebenar pasal hudud ni kita dah muak dengan cakap orang politik. Cakap tak ikhlas. Lain dimulut lain dihati. Kalau semua orang politik yang beragama Islam ikhlas nak laksanakan hukum hudud, lama dah boleh laksanakan. 55 tahun dah Pas dan UMNO terlibat dalam siasah negara. Kalau nak dihimpun air liur orang politik yang bercakap pasal hudud, sudah bergelen-gelen. Kalau nak dirangkai abjad hudud yang dicakap dan ditulis, sudah boleh menjadi rantai sepanjang Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Rantai tu mungkin dah boleh menjerut berpuluh-puluh leher orang-orang yang kufur, rosak akidah atau murtad kerana bercakap fasal hudud.Macam biasa selepas beberapa lama gedebum gedebam isu hudud pun senyap tanpa hujung pangkal.

Timbul pun isu bendera, isu gambar Najib dan Rosmah di pijak-pijak. Nampaknya isu ini tak banyak sangat boleh salah menyalah atau tuju menuju antara parti politik, kerana pembangkang pun tidak merestui perbuatan biadab itu. Perkasa bolehlah sekadar angkat pinggan nasi tambah. Bila pelaku yang memerankan isu ini seolah-olah dipihak ketiga, kita rasa isu ini tak jadi bertele-tele. Bila kering air liur, senyaplah ia. Nampaknya isu ini tak menguntungkan sangat pihak pembangkang. Tapi Najib seronoklah, pasal dia dapat kredit bila TV (mungkin atas arahan) sudah membikin satu iklan khas untuk menonjolkan dirinya. " Seorang budak jumpa gambar Najib dan Rosmah yang dipijak, diurut-urut dan diframekan semula."  Mesejnya undilah Najib sekali lagi. Siapakah orang-orang yang menjadi dalang disebalik kumpulan yang dikatakan biadab itu? Tak mungkinkan mereka dari kalangan yang mencipta iklan tersebut?

Begitu  isu demi isu akan muncul dan pergi. Mana yang menguntungkan orang politik, lama sikit di pasaran.
Lepas itu semuanya lenyap. Lepas tu macam gambar poster calon PRU nanti, termasuklah gambar Najib, ke tong sampah juga, dipijak atau dibakar juga. 

Isu Kek Lucah Enot macam mana ya? Para Mufti, Politikus,NGO, Perkasa, Jati dan Tikus tak minat ke?