Sunday 7 October 2012

KEKELIRUAN TENTANG RADIO AMATUR

Siaran Sinar Harian kawasan tengah pada 4 Oktober 2012 bertajuk "Taktik Guna Radio Amatur Gagal" menimbulkan kemarahan dan kecaman komuniti Radio Amatur. Betapa tidak kerana berita itu seolah mengambarkan  ada di kalangan ahli radio amatur menggunakan peralatan radio untuk tujuan pengedaran dadah. Ini tentu mengaibkan komuniti radio amatur yang menggunakannya sebagai hobi untuk berkomunikasi dan bantuan kecemasan. Apatah lagi mereka terikat ketat dengan undang-undang dan peraturan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberikan lesen untuk operasi radio tersebut. Untuk mendapatkan lesen itu pula bukannya mudah. Ia terpaksa melalui ujian bertulis, dan sesudah lulus barulah layak memohon lesen dengan sokongan orang tertentu.

Mujurlah kemarahan itu reda setelah pihak editor Sinar membuat permohonan maaf di atas kesilapan tajuk berita penangkapan penagih dadah itu. Kesilapan ini walaupun mungkin dianggap kecil bagi sesetengah orang, tetapi tidak wajar di pandang remeh. Bagi saya ia menggambarkan dua keadaan. Pertama, kejahilan atau kurangnya maklumat tentang apa itu radio amatur di kalangan pengamal media dan orang ramai. Kedua, terlalu banyak penggunaan radio atau walkie talkie di kalangan orang ramai sejak mutakhir ini menyebabkan timbul salah faham tentang identiti pengguna perkakasan tersebut.

Walaupun sudah beberapa kali berita tentang radio amatur tersiar di media cetak dan media elektronik, orang ramai masih lagi keliru mengenai perkara itu. Apakah komuniti radio amatur itu sama dengan TONTO? Atau apakah yang menggunakan radio/walkie-talkie itu semuanya ahli radio amatur? Apakah sesiapa sahaja boleh menggunakan radio amaturr?  Pernah seorang kawan yang berminat menggunakan radio untuk berkomunikasi, menanyakan saya dimana boleh dibeli radio seperti yang saya gunakan dan setelah memberitahunya di mana kedai yang menjual peralatan tersebut beliau terus mengajak saya ke sana.

"Aku nak pasang satu set di kereta aku. Senang kita bersembang," katanya.
"Eh, tak boleh." kata saya. "Kena ada lesen dulu."
"Tak apa. Lesen boleh ambil kemudian. Tak lama kot nak dapatkan lesen?" balasnya.
"Sebelum mohon lesen, kena ambil periksa dulu."
" Ambil di mana?"
" SKMM" , jawab saya rengkas.
" Senang ke susah periksanya?." tanyanya lagi
" Terpulanglah kepada individu. Aku sekali ambik saja clear, pasal ada sikit pengetahuan 
   elektronik. Ada yang ambil sambil lima enam kali tak lepas lagi".
" Banyak ke soalannya?" tanyanya macam berminat sangat.
" Lebihkurang 100 soalan, jawab dalam masa 3 jam." 

Kawan saya diam seketika. Kemudian dengan nada yang agak kendur berkata, "Tak apa. Tak apa hang tolong ambil borang kat aku." pintanya

" Borang boleh down load dari website SKMM. Peraturan-peraturan pun boleh baca di sana."
" OK. Ok. aku try." jawabnya rengkas. 

Dan sampai hari ini saya masih belum dapat menghubunginya melalui radio amatur. Mungkin anggapannya bahawa untuk menggunakan radio amatur adalah perkara yang mudah sudah meleset.

Sejak akhir ini pula ramai orang atau persatuan atau badan sukarela menggunakan radio untuk komunikasi. Nampaknya macam sangat mudah pula memperolehinya. Pernah saya ke kedai tayar untuk membuat aligment. Seorang pekerja Cina kedai tersebut menyelit walkie-talkie di pinggangnya. Saya tanya, dimana beliau beli talkie itu. Katanya RELA yang bagi. Sahlah dia Ahli RELA. Peringkat awal semua dibagi free, katanya. Yang kemudian ini kena beli sendiri. 
Berapa jauh boleh cakap?, tanya saya. " Ada 2 frekuensi. Satu boleh cakap 3 atau 4 km. Satu lagi boleh sampai SP".
 "Awak ada lesen," tanya saya. "Lesen apa?"  balasnya. 
"Lesen untuk cakap radio"
"Eh, tak payah. Cakap saja bukan susah" 
"Saya pun ada radio." Saya menunjukkan handset kepadanya." Tu dalam kereta lagi ada.
  Saya ada lesen radio amatur."
"Radio amatur tu apa?" tanya macam kebingungan.

Selain ahli Rela, kabarnya Perkasa juga memiliki talkie dan pancar ulang masing-masing. Ini tidak termasuk lagi Bomba Sukarela, JPAM dan lain-lain radio komersial termasuk syarikat pengangkutan dan tonto. Penggunang radio secara wewenang ini menyebabkan orang ramai tidak dapat membezakan yang manakah radio amatur yang berlesen dan pengguna-pengguna radio yang lain. Tidak mustahil ada yang menggunakanya secara haram. Apakah SKMM telah memberi kelonggaran kepada pihak tertentu dalam penggunaan radio ini?  Sedangkan kepada komuniti radio amatur begitu "hajab" untuk mendapatkan AA. Double standard yang macam ini suatu ketika mungkin akan memakan diri SKMM sendiri, apabila nanti penggunaan radio berleluasa di kalangan orang ramai. Maka penguatkuasanya, jika hendak dilaksanakan, tentu akan menjadi sukar.

Untuk kefahaman umum, SKMM patut menyibarkan di media cetak atau media elektronik, mengenai beberapa kategori pengguna-pengguna radio yang dibenarkan dan syarat serta peraturan penggunaan. Disamping itu komuniti radio amatur pula patutlah lebih agresif mempromosikan kegiatan mereka, supaya tidak berlaku tohmahan seperti yang tersiar dalam Sinar Harian baru-baru ini. Semoga alat komunikasi itu akan digunakan secara bermanfaat dan terhormat.





Monday 1 October 2012

KEMPEN YANG MENGAIBKAN BANGSA.

Meneliti kempen politik di kalangan orang melayu mutakhir ini, mengingatkan aku kepada perkelahian orang perempuan melayu sewaktu aku masih kecil-kecil dulu. Geram, geli hati, malu dan menyampah pun ada. Sebelum aku ceritakan bagaimana orang perempuan kampong dulu-dulu  berkelahi, eloklah kita tinjau sepintas lalu bagaimana kempen politik melayu masakini. Apa isu dan apa kaedahnya?

Isunya nak memburukkan lawan. Cari kisah keburukan lawan. Korek sana korek sini. Dapat sikit kepala cerita sudah cukup. Cerita ditokok tambah, direndangkan supaya menarik. Tunjukkan fakta, walaupun kekadang fakta itu sekadar kabar angin. Cari gambar-gambar yang relevan. Lagi bagus kalau ada video.

Isunya isu peribadi. Kisah penyelewengan. Kisah khalwat dengan betina. Kisah seks dengan betina atau sesama jenis. Para kempen upahan tanpa segan silu mendedahkan keburukan lawannya, macam dia lihat sendiri peristiwa seks itu. Lengkap dengan gambaran yang cukup memalukan dan diluar batas kewarasan seorang manusia melayu. 

Baru-baru ini  aku hadir satu ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai JASA di sebuah Dewan Orang Ramai di sebuah kampong. Kebetulan tempat ceramah berhampiran masjid. Lepas ikut kuliah dan solat isyak aku dan rakan singgah di dewan itu. Aku tak tahu apa programnya. Kata kawan orang Perkasa datang memberi ceramahnya. Bila sampai, ceramah sudah bermula, baru perasan rupanya kempen pilihanraya.

Aku bukan benci pada mana-mana parti politik atau NGO melayu. Aku suka dengar semua pihak menyampaikan pandangan dan kempen yang bermaruah. Tapi bila menceritakan kisah dalam kain yang keterlaluan aku rasa kopiah bagaikan terloncat dari kepala. Seram bulu rona. Aku beristighfar panjang.  Tapi yang hairannya ramai yang bergelak ketawa dan bertepuk tangan. Cerita macam ni dijaja merata-rata. Tak kira siapa audiennya. Melayu, Cina, India atau pun siam. Dikalangan mereka tentu ada yang percaya dan ada yang tidak. Ada yang seronok dan ada yang mungkin berkata, "bodohnya melayu, kisah dalam kain pun dicerita kat orang." .

Itulah kempen politik cara melayu. Tak banyak bezanya dengan kisah orang perempuan berkelahi seperti yang aku sebutkan di awal tadi. Kempen mengaibkan lawan, yang sebenarnya saudara sebangsa dan seagama, macam berkelahi berkerat rotan berpatah arang. Masing-masing sehabis mungkin hendak memburukkan lawan dengan caci cerca dan fitnah melulu.Nak dilondeh sehabis-habisan, baru puas hati penceramah.

Berbalik kepada kisah perempuan berkelahi tadi. 

Dua orang perempuan berjiran bergaduh berpunca dari hal yang remeh-temeh berkaitan anak-anak.Bermula dengan sindir menyindir melalut kepada pertengkaran, caci mencaci, menjerit-jerit dan carut mencarut. Kemudian bergomol tarik rambut. Mujur ada suami-suami yang rasional dapat meleraikannya. Masing-masing balik ke posisi halaman rumah masing-masing. Tapi kemarahan masih berbuak-buak. Jerit mencerit, caci mencaci masih kendengaran lagi.
Kemuncaknya, hendak melepaskan geram, seorang menyelak kain sambil mencarut dan menunjukkan kemaluan kepada lawannya. Kemudian dibalas pula lawannya dengan menyelak punggung sambil menonggeng menampakkan lubang duburnya yang hitam. Anak-anak menekup muka kerana malu. Suami tersengit dapat menonton free, tetapi kemudiannya menyergah perilaku isteri yang mengaibkan itu. Akhirnya kedua perempuan yang berkelahi itu
bergegas masuk ke rumah masing-masing.

Si perempuan itu adalah peran  politikus kita yang 'mabok ayor sejuk" kerana mengejar atau mempertahankan kuasa poliltik mereka ?.





Friday 7 September 2012

BUSUKNYA IKAN BERMULA DI KEPALA

Mengapa ini harus terjadi?

Abang membunuh adik kerana berebut siaran tv

Ipar menikam ipar lalu melarikan diri

Suami membelasah isteri

Isteri membelasah suami

lalu di hebohkan ke seluruh negeri

Ke mana nilai dan maruah diri.


Hal-hal yang kecil

menjadi fitnah

lalu diangkat menjadi sengketa

sehingga berbunuh-bunuhan

tanpa belas ikhsan.


Para politikus dan penguatkuasa 

sibuk kerana dua bendera di malam merdeka

dan gambar perdana yang dipijak-pijak

mencari-cari siapakah si muda biadab

yang membuntuti wajah perdana

seperti dosanya

melebih black metal yang mengencingi 

Al-quran di Sungai Petani.


Ke manakah hilang kasih sayang sesama kita,

anak dan ibu, adik dan abang, 

isteri dan suami di dalam rumah tangga?


Ke manakah hilang rasa hormat sesama umat

rakyat dan pemimpin,

yang muda dan yang tua

di dalam sebuah Malaysia?


Semua mungkin bermula dari yang atas

keruh di hulu keruhlah di kuala

seperti ikan busuknya bermula

dari kepala.




Monday 3 September 2012

ISU-ISU POLITIK

Menjelang PRU-13 ni macam-macam benda boleh jadi isu politik. Asalkan benda itu boleh disangkutkan dengan pihak yang berkenaan. Pihak berkenaan tu orang politik atau parti politiklah, takkan kek lucah enot pula.Orang politik tak pandanglah kek lucah enot tu, walaupun boleh menjadi isu sosial dan isu agama yang besar dan perlu dibanteras dengan segera.

Isu surau di Kompleks Tunku Yaakub di Alor Setar lama juga dimainkan dalam surat kabar. Gedebum gedebam sana sini, angkat sepanduk, tunjuk laporan polis dalam surat kabar. Akhirnya senyap tak tahu hujung pangkalnya. Agaknya orang politik dah habis idea kot nak memanjangkan isu itu. Dalam apa isupun yang jadi nasi tambah tu ahli perkasalah. Maklumlah depa orang 'perkasa'. 

Filem lama, isu hudud pun dimain balik. Bermula dari pandangan seorang wakil rakyat dari UMNO Johor mencadangkan hudud dilaksanakan di Johor, isu itu pun bertele-tele beberapa lama. Masing-masing tonjolkan diri memperkatakan mengenai isu hudud itu. Yang ditimbulkan bukannya tentang tubuh hudud itu. Tapi kata mengatakan dikalangan orang politik yang bertentangan. UMNO kata Pas, Pas kata UMNO. Perkasa juga jadi nasi tambah. Penganalis di menara gading pun tumpang sekaki. Ada yang pro UMNIO ada yang pro PAS.Orang DAP yang tak ketahuan apa-apa tentang hudud pun bincang sama.

Sebenar pasal hudud ni kita dah muak dengan cakap orang politik. Cakap tak ikhlas. Lain dimulut lain dihati. Kalau semua orang politik yang beragama Islam ikhlas nak laksanakan hukum hudud, lama dah boleh laksanakan. 55 tahun dah Pas dan UMNO terlibat dalam siasah negara. Kalau nak dihimpun air liur orang politik yang bercakap pasal hudud, sudah bergelen-gelen. Kalau nak dirangkai abjad hudud yang dicakap dan ditulis, sudah boleh menjadi rantai sepanjang Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Rantai tu mungkin dah boleh menjerut berpuluh-puluh leher orang-orang yang kufur, rosak akidah atau murtad kerana bercakap fasal hudud.Macam biasa selepas beberapa lama gedebum gedebam isu hudud pun senyap tanpa hujung pangkal.

Timbul pun isu bendera, isu gambar Najib dan Rosmah di pijak-pijak. Nampaknya isu ini tak banyak sangat boleh salah menyalah atau tuju menuju antara parti politik, kerana pembangkang pun tidak merestui perbuatan biadab itu. Perkasa bolehlah sekadar angkat pinggan nasi tambah. Bila pelaku yang memerankan isu ini seolah-olah dipihak ketiga, kita rasa isu ini tak jadi bertele-tele. Bila kering air liur, senyaplah ia. Nampaknya isu ini tak menguntungkan sangat pihak pembangkang. Tapi Najib seronoklah, pasal dia dapat kredit bila TV (mungkin atas arahan) sudah membikin satu iklan khas untuk menonjolkan dirinya. " Seorang budak jumpa gambar Najib dan Rosmah yang dipijak, diurut-urut dan diframekan semula."  Mesejnya undilah Najib sekali lagi. Siapakah orang-orang yang menjadi dalang disebalik kumpulan yang dikatakan biadab itu? Tak mungkinkan mereka dari kalangan yang mencipta iklan tersebut?

Begitu  isu demi isu akan muncul dan pergi. Mana yang menguntungkan orang politik, lama sikit di pasaran.
Lepas itu semuanya lenyap. Lepas tu macam gambar poster calon PRU nanti, termasuklah gambar Najib, ke tong sampah juga, dipijak atau dibakar juga. 

Isu Kek Lucah Enot macam mana ya? Para Mufti, Politikus,NGO, Perkasa, Jati dan Tikus tak minat ke?   

Wednesday 14 March 2012

CALON BN PARLIMEN POKOK SENA SEORANG DR.?


Bahang PRU13 semakin terasa. Ahli politik macam kucing nak beranak, ke sana ke sini membina pengaruh. Kelmarin, disatu kenduri kahwin disebuah kampong di Parlimen Pokok Sena muncul seorang yang bergelar Dr, katanya dari Putrajaya. Dari awal lagi aku perhatikan tingkahlaku orang ini memang spesis orang politik. Lama beliau berbual-bual dengan tetamu  di satu khemah yang dikhas untuk kalangan orang siam .Entah apa yang dibualkan aku tak pasti.

Kemudian beliau beredar ke kedohok berjumpa dan bersalam dengan tukang-tukang masak. Sahlah sangkaanku,  ini spesis orang politik. Kalau ke rumah kenduri mereka over acting. Rata ceruk nak di masuki. Nak tunjukkan prihatin.

Semasa beredar hendak pulang beliau sempat melalui khemah minuman yang kami bersantai. Bersalam dan berbual-bual seketika. Katanya dia pergi ke kedohok tadi cuma nak memberitahu bahawa dia berselera sekali makan hidangan yang disediakan. Sayur dagingnya sedap.

Orang ini memang asing di kawasan ini, kerana aku tengok dia tak kenal seorang pun ketuloi orang politik dikampung ini. Pengiringnya cuma pembantu DJ rumah kenduri tersebut.
Kata pengiringnya, dia ni orang banyak duit, dihantar oleh Najib dari Putrajaya. Dia bakal calon Ahli Parlimen Pokok Sena bakal menentang Mahfuz Omar. Wow! Pasti meloncat Tok Mat Sudin and the gangs dari Bahagian Pokok Sena. Mujur waktu itu Tok Mat tak hadir ke rumah kenduri itu. Kalau tidak mungkin kami dapat melihat adegan yang tak pernah kami lihat.

Seperti yang diceritakan oleh pengiringnya, Dr ini kabarnya pakar ekonomi yang pernah bertugas dibeberapa tempat diluar negara. Dan kini menjadi penasihat di Kementerian Kewangan. Aku tak pasti betul ke tidak. Kerana pengiringnya pun nampak dah over sangat.
Katanya Dr ini berasal dari Bukit Pinang tetapi dah lama tinggal di lluar Kedah.

Hari ini aku pergi satu lagi kenduri yang besar macam kemarin. Tumbang 6 ekor lembu. Bersiang daging sampai jam 10 pagi baru selesai. Tapi berkat gotong royong jam 12 tgh sudah dapat dihidang. Di sini aku jumpa beberapa "politikus" yang sudah mula menghidu kehadiran Dr tersebut kemarin. Aku dengar mereka merungut-rungut dengan kehadiran Dr itu.
Reaksi mereka macam tak berapa senang, maklum kehadirannya entah terjun dari mana.

Kalau betul Najib hantar orang ini untuk menumpaskan Mahfuz tanpa merujuk kepada Bahagian, mungkin pertimbangnya tak begitu teliti.Tak ingatkah Datuk Mat Sudin dari Pokok Sena di"sembelih" di DUN Bukit Pinang pada PRU12 yang lalu. Bodoh-bodoh orang kampung pun pasal nak sembelih mereka pandai menyempurnakannya.

Thursday 16 February 2012

RAMPAI BERITA POLITIK HARI INI


 "Jangan sayang jawatan," kata Tun Mahathir kepada Shahrizat. 
 Yalah bila tiba masanya kena pilih satu sahaja. Fidlot atau 
 menteri?

 "Tsunami kecil bakal melanda arena politik negara," kata Hasan 
 Ali, dengan tertubuhnya Jati pada 21 Februari ini. Pak Hasan 
 jangan main-main dengan tsunami belum tentu siapa yang lemas, 
 belum tentu bahtera siapa tersadai di daratan. Badai tsunami  
 sukar diramal.

"Kehadiran DS Najib pada sambutan Thaipusam di Batu Caves 
 tidak menyalahi hukum syarak" kata TS Harussani Mufti Perak.
 Eik! Lain pula bunyinya. 

BR1M bukannya rasuah, sebaliknya rezeki untuk rakyat di atas 
kemakmuran yang dicapai negara ini. Ianya duit rakyat yang 
kini dipulangkan kepada semula kepada rakyat, kata pula TPM 
di Pokok Sena semalam. Baguslah kalau semua rakyat boleh 
dapat. Jangan pula ada taukeh kedai papan dapat tapi janda 
empat anak tak dapat. Mereka pun rakyat juga walaupun 
penoreh getah.

     Sumber: Harian Metro dan Sinar Harian, Khamis 16/2/2012


Thursday 15 December 2011


PERTANYAAN RAKYAT

Kalau kau berikan  wang
mestikah kami menjadi beruang
memanjat tualang tinggi
mengutip madu untuk pendatang

Kalau kau berikan batik
pastikah kami berbaju cantik
seperti YB ke sana ke sini
di musim kenduri

Kalau kau berikan gula
pastikah kami mengulum manisnya
seperti kanak-kanak terlena
bersama putingnya

Kalau kau memberikan janji
Pastikah  kami menjadi asyik
Seperti se kecil menonton
Doraemon  dengan kocek ajaibnya.

Berikan saja secangkir jernih
Kami  junjung segunung kasih.

Ahmad Taib                    
Kg Baru, Pokok Sena