Thursday 15 December 2011


PERTANYAAN RAKYAT

Kalau kau berikan  wang
mestikah kami menjadi beruang
memanjat tualang tinggi
mengutip madu untuk pendatang

Kalau kau berikan batik
pastikah kami berbaju cantik
seperti YB ke sana ke sini
di musim kenduri

Kalau kau berikan gula
pastikah kami mengulum manisnya
seperti kanak-kanak terlena
bersama putingnya

Kalau kau memberikan janji
Pastikah  kami menjadi asyik
Seperti se kecil menonton
Doraemon  dengan kocek ajaibnya.

Berikan saja secangkir jernih
Kami  junjung segunung kasih.

Ahmad Taib                    
Kg Baru, Pokok Sena

Sunday 21 August 2011

Bendera Dikibarkan

Ini musim orang heboh pasal menyambut 2  perayaan. Aidilfitri dan Kemerdekaan . Puasa sudah masuk sepuluh yang akhir. Solat sunat tarawih tidak seramai awal bulan. Sebaliknya bunyi mercun semakin meriah di halaman. Tak tahu dari mana mercun diperolehi. Sedangkan itu benda larangan. Sejak awal Ramadhan lagi mercun kedengaran. Setiap malam sampai kini. Mercun sunat pun tidak. Harus pun bukan. Tapi orang Islam main dari awal bulan lagi. Ada yang sampai putus jari, buta mata dan sebagainya. Semua anak melayu orang Islam.

 Rasa malu pula dengan orang Cina yang menyambut Tahun Baru Cina. Mainnya tak lah seteruk orang Islam. Ini orang Islam jual lagi di Pasar Ramadhan. Tak ada pula siapa yang nak tangkap, nak larang. Sambil beli kuih untuk berbuka beli pula mercun atawa bunga api untuk anak-anak. Anak melayu pula kreatifnya lebih dalam benda letupan ini. Diubahsuainya berbagai cara, untuk menghasilkan letupan yang lebih kuat. Akhirnya anggota badan menjadi mangsa dan beraya di hospital. Agaknya mangsa-mangsa yang sebegini kalau boleh dikesan awal bakatnya bukankah bagus. Boleh kita buka sekolah untuk pakar bom di bawah ATM.

Pasal Merdeka pula walaupun perayaannya ditunda, kempen pasang bendera berganda-ganda. Baik di sekolah, gedung niaga atau pejabat kerajaan hatta ke anjung rumah. Ramailah anak-anak memasang bendera dikenderaan mereka: kereta atawa motorsikal. Baguslah macam tu, ada semangat patriotik kata mereka. Tapi fahamkah mereka apa itu bendera? Apa fungsi dan martabat bendera? Adakah hanya sekadar kain sekeping yang berjalur warna?

Dalam bangga, sedih juga lihat mereka buat pada bendera. Ada yang balut kat bonet kereta, gantung kat dinding lori dan bendera yang kecil jatuh merata-rata. Adakah itu cara menghormati bendera yang menjadi lambang kedaulatan negara. Kalau orang luar bakar bendera kita marah tak terkira. Tapi bila bendera kecil yang tercicir atau dibuang oleh anak-anak dipasar Ramadhan sesiapa pun tak mengutipnya atau bersuara sepatah kata. Itukah patriotiknya kita?

 Ada pula yang pasang bendera macam nak surender kalah perang. Hulur dari tingkap kedai atau bangunan perniagaan, condong atau tertonggeng si bendera itu.  Ada yang lebih kurang adab lagi, kain bendera dibuat seluar atau pun baju. Pakai gah tak sangka. Akulah warga negara yang setia. Yang pakai di badan itu bukan lagi bendera, tetapi pakaian. Yang balut di kereta itu bukan lagi bendera, tetapi cover kereta.

Kalau nak patriotik pun janganlah membabi buta. Gunakan akal dan pertimbangan yang saksama. Tanya pada yang tahu belajarlah pada yang berilmu sebelum mengamalkan sesuatu.

Bendera mesti ditegak. Bendera dikibarkan!!!

Wednesday 17 August 2011

Hujung Usia Seorang Pesara

Kematian pesara TNB, Encik Baharuddin Baharun, 86, yang jenazah ditemui sudah bengkak dan berbau di rumah beliau di Pengkalan Sentosa, Ipoh ( Harian Metro, 17 Ogos 2011) sungguh menyentap pilu perasaan 
kebanyakan orang. Selain dari mengakui ketentuan takdir, kita sebagai manusia yang naif  barangkali akan bertanya sendirian, "Mengapa harus bengitu hujung usianya?" Beliau bukan seorang gelandangan. Punyai rumah dan pendapatan. Punyai isteri dan anak;anak. Tetapi sudah 3 tahun beliau dilaporkan  hidup sendirian.

Dari jauh kita boleh membuat pelbagai andaian. Sudah kelazimannya orang tua sangat sayang untuk meninggalkan rumahnya untuk tinggal bersama anak-anak. Maklumlah itu hasil perit jerih kerjanya bertahun-tahun masakan hendak dibuang dan dibiarkan usang begitu sahaja. Sedangkan album buruk pun kita simpan bertahun-tahun sebelum melupuskannya, Itupun setelah beberapa kali berpindah kotak dan bilik stor. Lagi pula sesiapa pun  lebih selesa bergerak di rumahnya berbanding dengan di rumah anak-anak.

Anak-anak mungkin mempunya pelbagai alasan untuk tidak dapat tinggal bersamanya. Makumlah setelah berkeluarga dan bekerja mungkin banyak kekangannya untuk tinggal di rumah otai itu. Jika si anak itu perempuan pasti ia terpaksa mengikut suami. Jika si anak itu lelaki mungkin ia bekerja di negari yang jauh.
Namun satu hal yang patut kita sedari ialah orang tuaa adalah tanggungjawab anak-anaknya sepertimana ia bertanggungjawab mendidik dan membesarkan kita. Bagi orang Islam tanggungjawab itu adalah lebih besar kepada anak lelaki.

Karenah orang tua memang banyak. Orang tua menanggung ragam, begitu kata bidalan. Justeru menguruskan orang tua tidak semudah menguruskan anak-anak.Kebasaran mesti tinggi. Keperihatian mesti ada. Lebih-lebih lagi rasa kasih sayang yang mendalam mesti tumbuh dihati. Oleh itu rasa kasih sayang itu adalah perkara utama yang perlu dicambahkan ketika mendidik anak-anak. Kita boleh beri kemewahan melimpah ruah. Kita boleh sediakan kediaman tersergam indah. Tetapi itu semua bukan jaminan untuk kita dikasihi ketika diujung usia.
  
Bila kasih telah tumbuh dihati anak-anak, jarak jauh tak jadi halangan, sibuk kerja tak jadi rintangan untuk anak-anak menyatakan rasa sayangnya kepada si bapa meskipun dengan satu panggilan telefon setiap hari, Sekurang-kurang kita dapat tahu perkembangan terkini si bapa. Atau jika tinggal disekitar pintalah si cucu menjenguk atuknya. Kalau ini dipraktikkan, pada adatnya, kisah encik Baharudidin tidak berakhir begitu. 

Saya sangat tertarik dengan cara  keluarga saudara sebelah isteri  mengurusakn ibu mereka yang telah menjadi balu sejak mereka kecil lagi. Kebetulan mereka keluarga besar. Semuanya berkerjaya. Hatta ada yang pernah bertugas di luar negara.  Si ibu tetap tinggal di rumah otai. Malah diperlengkapkan segala kemudahannya. Mereka menyusun jadual untuk bersama ibu mereka setiap malam. Kalau si suami tak dapat datang, si isteri datang menemani. Kalau si suami dan isteri tak dapat datang, disuruhnya anak menemani. Kalau semua tidak dapat menemani, dibawanya si ibu ke rumah mereka ketika tiba giliran mereka. Yang pasti si ibu tidak pernah bersendirian. Itu semua bukalah mudah dilakukan tanpa kasih sayang yang ditumbuh dihati.
Semoga pemergian encik Baharuddin memberi iktibarkan kepada kita untuk mencambahkan kasih sayang dihati anak-anak.

Tuesday 16 August 2011

Dangau Rendang : Tinta Pemula

Dangau Rendang di pinggir sawah di lengkongan kaki bukit. Empat tiang terpacak tegak  ke bumi dari teras kayu tembusu berbelimbing keliling. Tanpa dinding. Lantai daripada buluh duri yang matang, diraut dan diremdam di lubuk yang dalam, sebelum dijemur dan dipaku ke rasuk dari kayu halban. Tak tebuk dek kasai atau tak gerit dek anai-anai.

Atap daripada rumbia disemat tiga lapis dengan bemban yang tua. Direndam dalam air lumpur tujuh hari tujuh malam, diangkat dan dijemur lagi tujuh hari sebelum diikat pada kasau kayu mentangor. Tak makan dek ulat atau tak tebuk dek bubuk. Hujan datang insya Allah tak tiris, panas siang meredup bayang. Angin bertiup hati tak walang.

Lantai terbuka tanpa tangga, rendahnya dapat dipanjat anak, orang tua berjuntai kaki. Dari bukit melepaskan lelah, dari sawah tumpang bertuduh. Lantai buluh tak terasa lusuh.

Dangau Rendang, siang diterangi mentari, malam disinar bulan. Tak resah dek panas, tak rawan dek hujan. Salam perkenalan dan salam sejahtera.