Sunday 7 October 2012

KEKELIRUAN TENTANG RADIO AMATUR

Siaran Sinar Harian kawasan tengah pada 4 Oktober 2012 bertajuk "Taktik Guna Radio Amatur Gagal" menimbulkan kemarahan dan kecaman komuniti Radio Amatur. Betapa tidak kerana berita itu seolah mengambarkan  ada di kalangan ahli radio amatur menggunakan peralatan radio untuk tujuan pengedaran dadah. Ini tentu mengaibkan komuniti radio amatur yang menggunakannya sebagai hobi untuk berkomunikasi dan bantuan kecemasan. Apatah lagi mereka terikat ketat dengan undang-undang dan peraturan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberikan lesen untuk operasi radio tersebut. Untuk mendapatkan lesen itu pula bukannya mudah. Ia terpaksa melalui ujian bertulis, dan sesudah lulus barulah layak memohon lesen dengan sokongan orang tertentu.

Mujurlah kemarahan itu reda setelah pihak editor Sinar membuat permohonan maaf di atas kesilapan tajuk berita penangkapan penagih dadah itu. Kesilapan ini walaupun mungkin dianggap kecil bagi sesetengah orang, tetapi tidak wajar di pandang remeh. Bagi saya ia menggambarkan dua keadaan. Pertama, kejahilan atau kurangnya maklumat tentang apa itu radio amatur di kalangan pengamal media dan orang ramai. Kedua, terlalu banyak penggunaan radio atau walkie talkie di kalangan orang ramai sejak mutakhir ini menyebabkan timbul salah faham tentang identiti pengguna perkakasan tersebut.

Walaupun sudah beberapa kali berita tentang radio amatur tersiar di media cetak dan media elektronik, orang ramai masih lagi keliru mengenai perkara itu. Apakah komuniti radio amatur itu sama dengan TONTO? Atau apakah yang menggunakan radio/walkie-talkie itu semuanya ahli radio amatur? Apakah sesiapa sahaja boleh menggunakan radio amaturr?  Pernah seorang kawan yang berminat menggunakan radio untuk berkomunikasi, menanyakan saya dimana boleh dibeli radio seperti yang saya gunakan dan setelah memberitahunya di mana kedai yang menjual peralatan tersebut beliau terus mengajak saya ke sana.

"Aku nak pasang satu set di kereta aku. Senang kita bersembang," katanya.
"Eh, tak boleh." kata saya. "Kena ada lesen dulu."
"Tak apa. Lesen boleh ambil kemudian. Tak lama kot nak dapatkan lesen?" balasnya.
"Sebelum mohon lesen, kena ambil periksa dulu."
" Ambil di mana?"
" SKMM" , jawab saya rengkas.
" Senang ke susah periksanya?." tanyanya lagi
" Terpulanglah kepada individu. Aku sekali ambik saja clear, pasal ada sikit pengetahuan 
   elektronik. Ada yang ambil sambil lima enam kali tak lepas lagi".
" Banyak ke soalannya?" tanyanya macam berminat sangat.
" Lebihkurang 100 soalan, jawab dalam masa 3 jam." 

Kawan saya diam seketika. Kemudian dengan nada yang agak kendur berkata, "Tak apa. Tak apa hang tolong ambil borang kat aku." pintanya

" Borang boleh down load dari website SKMM. Peraturan-peraturan pun boleh baca di sana."
" OK. Ok. aku try." jawabnya rengkas. 

Dan sampai hari ini saya masih belum dapat menghubunginya melalui radio amatur. Mungkin anggapannya bahawa untuk menggunakan radio amatur adalah perkara yang mudah sudah meleset.

Sejak akhir ini pula ramai orang atau persatuan atau badan sukarela menggunakan radio untuk komunikasi. Nampaknya macam sangat mudah pula memperolehinya. Pernah saya ke kedai tayar untuk membuat aligment. Seorang pekerja Cina kedai tersebut menyelit walkie-talkie di pinggangnya. Saya tanya, dimana beliau beli talkie itu. Katanya RELA yang bagi. Sahlah dia Ahli RELA. Peringkat awal semua dibagi free, katanya. Yang kemudian ini kena beli sendiri. 
Berapa jauh boleh cakap?, tanya saya. " Ada 2 frekuensi. Satu boleh cakap 3 atau 4 km. Satu lagi boleh sampai SP".
 "Awak ada lesen," tanya saya. "Lesen apa?"  balasnya. 
"Lesen untuk cakap radio"
"Eh, tak payah. Cakap saja bukan susah" 
"Saya pun ada radio." Saya menunjukkan handset kepadanya." Tu dalam kereta lagi ada.
  Saya ada lesen radio amatur."
"Radio amatur tu apa?" tanya macam kebingungan.

Selain ahli Rela, kabarnya Perkasa juga memiliki talkie dan pancar ulang masing-masing. Ini tidak termasuk lagi Bomba Sukarela, JPAM dan lain-lain radio komersial termasuk syarikat pengangkutan dan tonto. Penggunang radio secara wewenang ini menyebabkan orang ramai tidak dapat membezakan yang manakah radio amatur yang berlesen dan pengguna-pengguna radio yang lain. Tidak mustahil ada yang menggunakanya secara haram. Apakah SKMM telah memberi kelonggaran kepada pihak tertentu dalam penggunaan radio ini?  Sedangkan kepada komuniti radio amatur begitu "hajab" untuk mendapatkan AA. Double standard yang macam ini suatu ketika mungkin akan memakan diri SKMM sendiri, apabila nanti penggunaan radio berleluasa di kalangan orang ramai. Maka penguatkuasanya, jika hendak dilaksanakan, tentu akan menjadi sukar.

Untuk kefahaman umum, SKMM patut menyibarkan di media cetak atau media elektronik, mengenai beberapa kategori pengguna-pengguna radio yang dibenarkan dan syarat serta peraturan penggunaan. Disamping itu komuniti radio amatur pula patutlah lebih agresif mempromosikan kegiatan mereka, supaya tidak berlaku tohmahan seperti yang tersiar dalam Sinar Harian baru-baru ini. Semoga alat komunikasi itu akan digunakan secara bermanfaat dan terhormat.





Monday 1 October 2012

KEMPEN YANG MENGAIBKAN BANGSA.

Meneliti kempen politik di kalangan orang melayu mutakhir ini, mengingatkan aku kepada perkelahian orang perempuan melayu sewaktu aku masih kecil-kecil dulu. Geram, geli hati, malu dan menyampah pun ada. Sebelum aku ceritakan bagaimana orang perempuan kampong dulu-dulu  berkelahi, eloklah kita tinjau sepintas lalu bagaimana kempen politik melayu masakini. Apa isu dan apa kaedahnya?

Isunya nak memburukkan lawan. Cari kisah keburukan lawan. Korek sana korek sini. Dapat sikit kepala cerita sudah cukup. Cerita ditokok tambah, direndangkan supaya menarik. Tunjukkan fakta, walaupun kekadang fakta itu sekadar kabar angin. Cari gambar-gambar yang relevan. Lagi bagus kalau ada video.

Isunya isu peribadi. Kisah penyelewengan. Kisah khalwat dengan betina. Kisah seks dengan betina atau sesama jenis. Para kempen upahan tanpa segan silu mendedahkan keburukan lawannya, macam dia lihat sendiri peristiwa seks itu. Lengkap dengan gambaran yang cukup memalukan dan diluar batas kewarasan seorang manusia melayu. 

Baru-baru ini  aku hadir satu ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai JASA di sebuah Dewan Orang Ramai di sebuah kampong. Kebetulan tempat ceramah berhampiran masjid. Lepas ikut kuliah dan solat isyak aku dan rakan singgah di dewan itu. Aku tak tahu apa programnya. Kata kawan orang Perkasa datang memberi ceramahnya. Bila sampai, ceramah sudah bermula, baru perasan rupanya kempen pilihanraya.

Aku bukan benci pada mana-mana parti politik atau NGO melayu. Aku suka dengar semua pihak menyampaikan pandangan dan kempen yang bermaruah. Tapi bila menceritakan kisah dalam kain yang keterlaluan aku rasa kopiah bagaikan terloncat dari kepala. Seram bulu rona. Aku beristighfar panjang.  Tapi yang hairannya ramai yang bergelak ketawa dan bertepuk tangan. Cerita macam ni dijaja merata-rata. Tak kira siapa audiennya. Melayu, Cina, India atau pun siam. Dikalangan mereka tentu ada yang percaya dan ada yang tidak. Ada yang seronok dan ada yang mungkin berkata, "bodohnya melayu, kisah dalam kain pun dicerita kat orang." .

Itulah kempen politik cara melayu. Tak banyak bezanya dengan kisah orang perempuan berkelahi seperti yang aku sebutkan di awal tadi. Kempen mengaibkan lawan, yang sebenarnya saudara sebangsa dan seagama, macam berkelahi berkerat rotan berpatah arang. Masing-masing sehabis mungkin hendak memburukkan lawan dengan caci cerca dan fitnah melulu.Nak dilondeh sehabis-habisan, baru puas hati penceramah.

Berbalik kepada kisah perempuan berkelahi tadi. 

Dua orang perempuan berjiran bergaduh berpunca dari hal yang remeh-temeh berkaitan anak-anak.Bermula dengan sindir menyindir melalut kepada pertengkaran, caci mencaci, menjerit-jerit dan carut mencarut. Kemudian bergomol tarik rambut. Mujur ada suami-suami yang rasional dapat meleraikannya. Masing-masing balik ke posisi halaman rumah masing-masing. Tapi kemarahan masih berbuak-buak. Jerit mencerit, caci mencaci masih kendengaran lagi.
Kemuncaknya, hendak melepaskan geram, seorang menyelak kain sambil mencarut dan menunjukkan kemaluan kepada lawannya. Kemudian dibalas pula lawannya dengan menyelak punggung sambil menonggeng menampakkan lubang duburnya yang hitam. Anak-anak menekup muka kerana malu. Suami tersengit dapat menonton free, tetapi kemudiannya menyergah perilaku isteri yang mengaibkan itu. Akhirnya kedua perempuan yang berkelahi itu
bergegas masuk ke rumah masing-masing.

Si perempuan itu adalah peran  politikus kita yang 'mabok ayor sejuk" kerana mengejar atau mempertahankan kuasa poliltik mereka ?.