Monday 1 October 2012

KEMPEN YANG MENGAIBKAN BANGSA.

Meneliti kempen politik di kalangan orang melayu mutakhir ini, mengingatkan aku kepada perkelahian orang perempuan melayu sewaktu aku masih kecil-kecil dulu. Geram, geli hati, malu dan menyampah pun ada. Sebelum aku ceritakan bagaimana orang perempuan kampong dulu-dulu  berkelahi, eloklah kita tinjau sepintas lalu bagaimana kempen politik melayu masakini. Apa isu dan apa kaedahnya?

Isunya nak memburukkan lawan. Cari kisah keburukan lawan. Korek sana korek sini. Dapat sikit kepala cerita sudah cukup. Cerita ditokok tambah, direndangkan supaya menarik. Tunjukkan fakta, walaupun kekadang fakta itu sekadar kabar angin. Cari gambar-gambar yang relevan. Lagi bagus kalau ada video.

Isunya isu peribadi. Kisah penyelewengan. Kisah khalwat dengan betina. Kisah seks dengan betina atau sesama jenis. Para kempen upahan tanpa segan silu mendedahkan keburukan lawannya, macam dia lihat sendiri peristiwa seks itu. Lengkap dengan gambaran yang cukup memalukan dan diluar batas kewarasan seorang manusia melayu. 

Baru-baru ini  aku hadir satu ceramah yang disampaikan oleh seorang pegawai JASA di sebuah Dewan Orang Ramai di sebuah kampong. Kebetulan tempat ceramah berhampiran masjid. Lepas ikut kuliah dan solat isyak aku dan rakan singgah di dewan itu. Aku tak tahu apa programnya. Kata kawan orang Perkasa datang memberi ceramahnya. Bila sampai, ceramah sudah bermula, baru perasan rupanya kempen pilihanraya.

Aku bukan benci pada mana-mana parti politik atau NGO melayu. Aku suka dengar semua pihak menyampaikan pandangan dan kempen yang bermaruah. Tapi bila menceritakan kisah dalam kain yang keterlaluan aku rasa kopiah bagaikan terloncat dari kepala. Seram bulu rona. Aku beristighfar panjang.  Tapi yang hairannya ramai yang bergelak ketawa dan bertepuk tangan. Cerita macam ni dijaja merata-rata. Tak kira siapa audiennya. Melayu, Cina, India atau pun siam. Dikalangan mereka tentu ada yang percaya dan ada yang tidak. Ada yang seronok dan ada yang mungkin berkata, "bodohnya melayu, kisah dalam kain pun dicerita kat orang." .

Itulah kempen politik cara melayu. Tak banyak bezanya dengan kisah orang perempuan berkelahi seperti yang aku sebutkan di awal tadi. Kempen mengaibkan lawan, yang sebenarnya saudara sebangsa dan seagama, macam berkelahi berkerat rotan berpatah arang. Masing-masing sehabis mungkin hendak memburukkan lawan dengan caci cerca dan fitnah melulu.Nak dilondeh sehabis-habisan, baru puas hati penceramah.

Berbalik kepada kisah perempuan berkelahi tadi. 

Dua orang perempuan berjiran bergaduh berpunca dari hal yang remeh-temeh berkaitan anak-anak.Bermula dengan sindir menyindir melalut kepada pertengkaran, caci mencaci, menjerit-jerit dan carut mencarut. Kemudian bergomol tarik rambut. Mujur ada suami-suami yang rasional dapat meleraikannya. Masing-masing balik ke posisi halaman rumah masing-masing. Tapi kemarahan masih berbuak-buak. Jerit mencerit, caci mencaci masih kendengaran lagi.
Kemuncaknya, hendak melepaskan geram, seorang menyelak kain sambil mencarut dan menunjukkan kemaluan kepada lawannya. Kemudian dibalas pula lawannya dengan menyelak punggung sambil menonggeng menampakkan lubang duburnya yang hitam. Anak-anak menekup muka kerana malu. Suami tersengit dapat menonton free, tetapi kemudiannya menyergah perilaku isteri yang mengaibkan itu. Akhirnya kedua perempuan yang berkelahi itu
bergegas masuk ke rumah masing-masing.

Si perempuan itu adalah peran  politikus kita yang 'mabok ayor sejuk" kerana mengejar atau mempertahankan kuasa poliltik mereka ?.





No comments:

Post a Comment